Monday, June 9, 2008

PROSA TRADISIONAL

Praktis 1
PROSA TRADISIONAL

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.


Tanah sawah seekar pusaka ibunya hanya cukup untuk berbelanja beberapa bulan dalam setahun. Bulan-bulan selebihnya terpaksalah ibunya sendiri berusaha mengambil upah menanam dan memotong padi. Kini ibunya sakit pula.
Penanggungan penderitaan itu amat dirasainya sebagai seorang abang yang baru berusia sepuluh tahun, belajar dalam darjah lima, di sekolah kebangsaan di kampungnya. Dan kerana itu dia tidak akan meminta apa-apa daripada ibunya untuk memberikan hadiah kepada gurunya sempena Hari Guru pada tahun itu.
Ketika dia berjalan ke rumah Pak Mustaffa petang itu, tergambar difikirannya rakan-rakannya menyerahkan bungkusan hadiah masing-masing kepada Cikgu Fatimah. Ketika itu dia hanya merenungi bungkusan-bungkusan yang cantik, dibungkus dengan kertas berbunga, tentu mahal pula harganya; dengan hati yang penuh terharu.
“Oh! Apakah yang dapat aku hadiahkan pada Cikgu Fatimah? Dia sangat baik padaku. Dia banyak menolongku. Aku mesti hadiahkan sesuatu padanya.” Demikian azam Ramli sambil melangkah satu-satu menuju ke rumah Pak Mustaffa.
Dia pulang ke rumahnya petang itu dengan perasaan tenteram. Pak Mustaffa senang sekali memberikan beras yang dipohon oleh ibunya. Betapa penduduk di situ amat bersimpati terhadap hidup mereka.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen“Hadiah Hari Guru”, karya Rejab F.1 antologi Sehijau Warna Daun, Tingkatan 1, DBP)

1. Ramli ingin menghadiahkan sesuatu kepada Cikgu Fatimah sempena Hari Guru kerana
A. Cikgu Fatimah sangat baik.
B. Untuk menggembirakan Cikgu Fatimah.
C. Pak Mustaffa menyuruhnya berbuat demikian.
D. Rakan-rakannya akan memberi hadiah kepada Cikgu Fatimah.

2. Gambaran Ramli tentang hadiah yang bakal diberi oleh rakan-rakannya kepada Cikgu Fatimah dijelaskan menerusi teknik
A. dialog.
B. monolog.
C. imbas muka.
D. imbas kembali.

3. Persoalan penting yang terdapat dalam petikan ialah
A. kepentingan ilmu.
B. penindasan ke atas orang miskin.
C. kemiskinan hidup masyarakat kampung.
D. semangat kerjasama,masyarakat kampung.

4. Berapakah umur Ramli?
A. 9 tahun.
B. 10 tahun.
C. 11 tahun.
D. 12 tahun.

5. Rumah Pak Mustaffa berdekatan dengan sebuah________
A. bukit.
B. rumah jiran.
C. Masjid.
D. Balai raya.


Praktis 2
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya

Kumpulan Salha berjalan lambat-lambat di tepi pantai, Salha sendiri di gigi air. Mereka berkaki ayam. Rahim menyepak-nyepak pasir, sekali-sekala mencapai ketul-ketul kayu lalu melemparkannya ke air.
“Kalau air surut, boleh cari ketam,” kata Salha.
Rasyid tidak banyak bercakap. Dia mendengar saja perbualan Rahim dengan Salha. Tiba-tiba dia tergolek di atas pasir. Tangannya memegang jari kaki, kesakitan.
“Kenapa, Rasyid, kenapa?” Tanya Salha, cemas.
“Tengok, itu!” jawab Rasyid sambil memuncungkan bibirnya kea rah satu benda hitam yang tersembul dari dalam pasir.
“ Apa benda ni?” Tanya Salha, hairan.
“Nampaknya macam besi buruk,” kata Rahim. Dia mengorek pasir di sekeliling besi buruk itu. Tiba-tiba dia terperanjat. “Eh, ini macam ekor bom!” kata Rahim lagi kemudiannya.
“Bom?” Tanya Salha, cemas.
Rasyid terbangun. Sakit kakinya hilang dengan tiba-tiba. “ Dari mana datangnya bom ini?” Tanya Rasyid pula. Dia cuba mengorek lagi pasir di keliling benda yang dikatakan bom itu. “Kalau dapat elok dibawa balik ke sekolah,” katanya lagi.
“Eh, Rasyid, bom tak boleh dibuat main-main!” tegah Salha.
“Kita mesti beritahu Cikgu Zaidah.”
Sebentar kemudian Cikgu Zaidah datang. Pelajar-pelajar lain juga ikut meramaikan. Mereka ingin tahu. Akan tetapi Cikgu Zaidah mengawasi mereka supaya jangan terlalu dekat. Dia segera menyuruh Rahim melaporkan jumpaan itu ke balai polis yang terdekat di tepi sungai tidak jauh dari situ.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen “Gema Menggegar Kota,” karya Timah Baba, antologi Sehijau Warna Daun, Tingkatan 1, DBP)

6. Frasa gigi air merupakan gaya bahasa
A. simile C. metafora
B. inverse D. personifikasi

7. Rasyid terpijak ekor bom ketika dia sedang
A. membuat penyelidikan.
B. berjalan-jalan di celah batu.
C. bersiar-siar di tepi pantai.
D. mengorek pasir di pantai.

8. Siapakah Salha dalam petikan di atas?
A. Guru Penasihat Persatuan Sejarah
B. Ahli Persatuan Sejarah
C. Ketua Persatuan Sejarah
D. Setiausaha Persatuan Sejarah

9. Sikap penting bagi Cikgu Zaidah dalam petikan ini ialah
A. berani. C. pemarah.
B. prihatin. D. mementingkan diri.

10. Mengapakah Salha berasa cemas berdasarkan petikan ini?
A. Rasyid kesakitan.
B. Rasyid menemui bom
C. Rasyid dimarahi oleh Cikgu Zaidah
D. Rasyid ingin membawa pulang bom yang ditemui


Praktis 3
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

LAMBAK: Begini, Abang Sulung. Abang dah lama berniat nak ke Makkah, naik haji,
bukan?
SULUNG: Err…., ya. Kenapa?
LAMBAK: Bila agaknya abang nak pergi?
SULUNG: Entahlah, Lambak. Duit aku tak pernah cukup. Tengoklah dalam tiga empat
tahun lagi.
LAMBAK: Eh, kenapa sampai tiga empat tahun? Tahun ini kan boleh?
SULUNG : Aku dah kata tadi, aku tak ada duit….
LAMBAK: Aah, duit bukannya perkara susah. Cakap saja berapa Abang Sulung
perlukan. Bila-bila masa saya boleh tolong.
SULUNG: Apa? Kau boleh tolong? Err…, macam mana?
LAMBAK: Mudah saja, Abang Sulung.
SULUNG : Yalah, Macam mana caranya?
LAMBAK: Jualkan saja tanah pusaka yang Abang Sulung terima tu.
SULUNG : Jual tanah?
LAMBAK: Ya. Jualkan saja kepada saya. Apa yang Abang Sulung nak buat dengan
tanah jauh ke hulu tu? Tak ada orang lain sanggup beli.
SULUNG: Eeh…, aku sayang tanah tu…
LAMBAK: Sayang macam mana sekalipun, takkan abang nak bawa ke mati.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada drama “Penunggu Pusaka,” karya
Zakaria Ariffin, antologi Seuntai Kata untuk Dirasa, Tingkatan 2,DBP)


11. Bagaimanakah caranya Sulung boleh pergi ke Makkah mengikut pendapat Lambak?
A. Menjual tanah pusakanya di hulu.
B. Menjual tanah pusaka kepada orang tengah.
C. Menjual tanah kepunyaannya di hilir kampung.
D. Mengumpul wang hasil daripada tanah pusaka.

12. Perwatakan yang agak ketara bagi watak Lambak dalam petikan ini ialah
A. sombong.
B. Pandai memujuk.
C. Cepat terpengaruh.
D. Mudah bertolak ansur.

13. Frasa tak dalam petikan ini mengemukakan gaya bahasa
A. Personifikasi C. Simile
B. Sinkof D. Inversi


14. Satu nilai yang terdapat dalam petikan ini ialah
A. kerjasama C. tanggungjawab
B. kesyukuran D. cinta akan hak

15. Tema drama ini ialah
A. perebutan harta pusaka.
B. kerjasama yang membawa padah.
C. kepercayaan kepada tahyul dan bomoh.
D. masalah kewangan dalam sebuah keluarga.

Praktis 4
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

ORANG TUA: Belum lagi. Aku ingin tahu namamu, orang muda.
YATIM: Saya Yatim.
ORANG TUA: Kau tak ada orang tua, Yatim?
YATIM: Ya, benar kata bapak itu.
ORANG TUA: Kenapa? Apa yang terjadi?
YATIM: Oh, itu kalau nak cerita, panjang kisahnya pak.
ORANG TUA: Jadi benar juga sangkaanku.
YATIM: Ya, begitulah pak (Suara terharu.) Mudah-mudahan Allah akan sentiasa
merahmati ke atas roh kedua orang tua saya…
ORANG TUA: Kau anak yang baik, Yatim…. (Mengeluh dan memandang jauh.)
YATIM: Bapak ni kenapa pulak?
ORANG TUA: Ya, aku juga baru kematian isteri. Orang yang paling aku sayang selama
ini. Dia meninggal baru tiga hari. Apa kau lihat tanah kubur itu, ia
masih baru lagi! Oh, ya tentu kau tak nampak bukan?
YATIM: Saya tau.
ORANG TUA: Kau tau?
YATIM: Saya ada dengar berita itu… Rupanya yang meninggal itu isteri bapak, ya?
Bersabarlah. Mudah-mudahan roh almarhumah itu ditempatkan di sisi syuhada
dan solihin. Bapak hendaklah banyak –banyak berdoa.
ORANG TUA: Berdoa? Bagaimana berdoa? Aku tidak….
YATIM: Astaghfirullah al azim…
ORANG TUA: Aku sungguh gelisah. Bagaimana cara berdoa? Aku tidak tahu apa yang
harus aku lakukan sekarang. Dan aku juga…ah!
YATIM: Berdoa selepas sembahyang sudah cukup. Membaca al-Quran?
ORANG TUA: Sembahyang? Baca al-Quran? Sebenarnya sudah lama… aku pun dah tak
tahu …
YATIM: Ya Allah! Sampai begitu sekali?

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada drama “Asar Belum Berakhir”, karya A. Rahim Abdullah, antologi Anak Bumi Tercinta, Tingkatan 3, DBP)



16. Apakah berita yang didengar oleh Yatim mengenai orang tua seperti yang dinyatakan dalam petikan?
A. Orang tua baru sahaja kematian ayahnya.
B. Orang tua baru sahaja kematian isterinya.
C. Orang tua baru sahaja kematian ibunya.
D. Kubur isteri orang tua masih baru.

17. Mengapakah Yatim berkata ya Allah! Sampai begitu sekali? Kepada orang tua?
A. Yatim hairan dan mengagumi kebesaran Allah.
B. Yatim terkejut kerana orang tua jahil dalam agama.
C. Yatim terkejut kerana orang tua itu enggan sembahyang.
D. Yatim terkejut kerana orang tua itu enggan membaca al-Quran.

18. Sikap yang paling ketara bagi watak Yatim dalam petikan ini ialah
A. sombong. C. panas baran.
B. baik hati. D. suka menyindir.

19. Frasa Astaghfirullah al azim dalam petikan merupakan gaya bahasa
A. kata pinjaman (Arab) C. simbolik
B. personifikasi D. simile

20. Antara berikut, manakah pengajaran yang tidak terdapat dalam drama ini?
A. Janganlah mengabaikan tanggungjawab terhadap agama.
B. Kita janganlah menghina golongan yang lemah.
C. Harta yang menjamin kesejahteraan hidup.
D. Kita mestilah insaf akan kesilapan lalu.


Praktis 5
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Demikianlah, dalam usia tujuh tahun aku mengalami satu demi satu kehilangan. Sungguhpun aku berasa sedih atas kehilangan itu,tetapi aku tidak menangis. Aku tabahkan hati menghadapi keadaan itu.
“Belajar rajin-rajin, Mat. Kalau kau lulus tinggi, boleh dapat kerja yang baik. Jangan jadi macam atuk atau arwah ayah kau, jadi pemanjat kelapa saja,” kata datuk. Sudah berpuluh-puluh kali datuk memantakkan nasihat itu ke dalam kotak ingatanku.
Aku tidak tahu bagaimana datukku yang tidak bersekolah itu mendapat kesedaran tentang pentingnya ilmu pengetahuan dalam dunia yang semakin maju ini. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya nasihat itu menyalakan semangatku.
Di sekolah, lebih ramai pelajar yang tidak suka berkawan denganku. Bukan kerana aku jahat, tetapi kerana aku miskin- ke sekolah dengan baju dan seluar yang bertampal-tampal. Ada tiga empat orang pelajar yang begitu kurang ajar mengejek-ejek aku, macamlah aku ini anak monyet yang baru ditangkap dari hutan rimba.
“Biarkan. Kau diam saja. Penat mulut, berhentilah mereka mengejek.” Begitu datukku memberi petua apabila aku mengadukan hal itu kepadanya.
Semasa di dalam Darjah Tiga aku mempunyai seorang guru, Cikgu Ramlah namanya, yang cukup pandai bercerita. Suara dan gayanya cukup memukau para pelajar, terutamanya aku. Pada suatu hari dia berangan-angan ketika sedang memanjat. Dia mahu menjual kelapa yang menjadi upahnya itu untuk membeli anak ayam. Apabila ayamnya membesar, dijual dan dia membeli anak kambing pula. Apabila kambingnya besar, dijual dan dia membeli lembu. Apabila semua lembunya sudah besar, dijual dan dia pun berkahwin dengan puteri raja….”


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen “ Hikayat Mat Jenin” karya Mohd
Ismail Sarbini, antologi Anak Bumi tercinta, tingkatan 3, DBP)





21. Berikut merupakan nasib malang yang dialami oleh Mat Jenin seperti yang
dinyatakan dalam petikan ini kecuali
A. kematian demi kematian yang menimpa ahli keluarganya.
B. kemiskinannya sehingga disisih oleh rakan-rakannya.
C. ayah dan datuknya bekas pemanjat kelapa.
D. ada rakan-rakan yang mengejeknya.

22. Perwatakan-perwatakan bagi watak datuk dalam petikan ini adalah seperti berikut
kecuali
A. panas baran. C. baik hati.
B. Pentingkan ilmu D. prihatin.

23. Apakah kesan nasihat datuk kepada Mat Jenin seperti yang dinyatakan dalam petikan ini?
A. Mat Jenin tidak suka kerana datuknya hanya pemanjat kelapa.
B. Mat Jenin tidak mempedulikan nasihat datuknya itu.
C. Mat Jenin menjadi bersemangat.
D. Mat Jenin memarahi datuknya.

24. Berikut merupakan latar-latar tempat yang terdapat dalam cerpen ini kecuali
A. Pasar Sehari Pekan Kelapa Condong.
B. Sekolah Kampung Kelapa Condong.
C. Restoran Membuka Selera.
D. Kampung Kelapa Condong.

25. Frasa macam menampilkan gaya bahasa
A. personifikasi. C. metafora.
B. simile. D. sinkof.


Praktis 6
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.


Setelah sudah bertitah itu, maka tuan Puteri pun terlalu amat saratnya gering hendak bersalin itu, maka Tuan Puteri pun lalu pengsan tiada khabarkan dirinya, lalu berputera seorang laki-laki membawa sebilah parang putting di tangannya:
Tiga bilah langtai terpatah,
Tiga gelegar yang patah,
Sampai ke tanah masuk ke dalam bumi tujuh hasta. Maka bidan yang tujuh pun menjerit serta menangis yang teramat sangat, sekalian tabib, bomoh, dukun pun tiada jampian lagi, huru-haralah bunyinya di dalam istana baginda, laksana katak diharung ular oleh pekik jerit raung sawan inang pengasuh dan dayang-dayang Tuan Puteri tiada terhingga lagi. Maka Tuan Puteri Nor Lela pun mangkatlah.
Hatta, setelah dilihat baginda isterinya sudah mangkat itu, maka baginda pun rebah pengsan pula, tiadalah khabarkan dirinya. Maka disambut oleh orangorang besar hulu baginda serta dipercikkan air mawar ke muka baginda, baharulah baginda sedarkan dirinya seraya menangis pula. Maka Tuan Puteri Lindungan Bulan pun, setelah melihat bondanya mangkat itu, maka ia pun rebah pengsan dari atas dukung pengasuhnya. Maka inag pengasuhnya pun mencucurkan air mawar, maka Tuan Puteri pun sedarlah hendak mendapatkan bondanya, dilarikan oleh inang pengasuhnya, dipujuk dengan perkataan lemah lembut. Maka diamlah Tuan Puteri sehingga bercucuran juga air matanya, terkenangkan nasibnya tiada berbonda itu,


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerita “Putera Besar Lahir ke
Dunia”,antologi Seuntai Kata untuk Dirasa, Tingkatan 2,DBP)

26. Keistimewaan putera yang dilahirkan oleh Tuan Puteri Nor Lela ialah
A. bidan ketujuh menangis.
B. tiga bilah lantai istana patah.
C. tiga batang gelegar istana patah.
D. Membawa bersamanya sebilah parang puting.

27. Mengapakah Tuan Puteri Lindungan Bulan pengsan?
A. Melihat bondanya mangkat.
B. Mendengar jeritan dukun, bomoh dan tabib.
C. Mendengar raungan inang pengasuh di istana.
D. Melihat bondanya berputera seorang lelaki yang membawa parang puting.

28. Frasa huru-haralah bunyinya di dalam istana baginda, laksana katak diharung ular memperlihatkan gaya bahasa
A. simile. C. metafora.
B. sinkof. D. personifikasi.

29. Persoalan yang ketara dalam petikan di atas ialah
A. raja yang bertanggungjawab terhadap rakyat.
B. budi baik dibalas dengan kebaikan.
C. kebesaran seorang pemerintah.
D. keistimewaan putera raja.

30. Perwatakan-perwatakan berikut terdapat pada watak Tuan Puteri Nor Lela dalam
cerita ini kecuali
A. tabah.
B. penyayang.
C. bersikap iri hati.
D. bertanggungjawab.


Praktis 7
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawan soalan-soalan yang berikutnya.


Tatkala itu Raja Bersiung pun berlari-lari ke sana ke mari menyuruh orang memasang bedil meriam kepada orang itu. Maka dilihatnya seoran orang berkhabar kepadag pun tiada mati dan luka sebelah lawannya itu. Maka menteri keempat itu pun, setelah lepas ia masuk ke dalam kota itu lalu mencari Raja Bersiung. Demi didengar oleh Raja Bersiung, maka larilah baginda mencari tempat hendak sembunyikan diri lalu dibuka suatu pintu paling kecil daripada sebelah matahari naik, lari menuju ke dalam hutan. Maka datanglah orang berkhabar kepada menteri mengatakan Raja Bersiung sudah lari membawa dirinya ke dalam hutan. Maka oleh menteri keempat, dua orang duduk mencari di dalam kota dan dua orang itu menurut keluar kota masuk ke hutan.Bergemuruhlah bunyinya seperti orang memburu rusa kijang rupanya. Maka Raja Bersiung, apabila diketahui orang menghambat dia itu, maka baginda pun larilah dengan sungguh-sungguh hati. Susup-lurup tiada berketahuan. Rebah-rempah bangun lari juga, habis segala senjata dengan pakaian itu jatuh berhamburan pada segenap jalan. Lari daripada hari siang sampai malam, sampai kepada esok harinya, itu pun dituruti orang juga.
Adapun menteri yang dua orang tinggal di dalam kota istana itu mencari Raja Bersiung jua, kalau-kalau ada menyembunyi diri; dicari sampai ke rumah dapur. Maka sekalian itu pun duduklah berkampung di balairung itu menanti menteri yang kedua itu. Telah keesokkan harinya maka menteri kedua itu pun sudah tiada bertemu dengan Raja Bersiung, maka balikkah ia kedua lalu terserahlah kota itu kepadanya. Maka segala rakyat bala pun masing-masing bermohonlah kembali pulang ke tempatnya mencari makan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerita “Raja Bersiung”, antologi
Anak Bumi Tercinta, Tingkatan 3,DBP)


31. Apakah tindakan akhir raja Bersiung setelah menteri keempat mahu menangkap baginda?
A. Cuba melawan menteri keempat.
B. Melarikan diri ke dalam hutuan.
C. Bersembunyi di dalam istana.
D. Menyerah diri.

32. Perkataan berkampung dalam petikan ini bermaksud
A. tinggal.
B. berkumpul.
C. bersembunyi.
D. membina kampung.

33. Sikap-sikap berikut terdapat pada watak menteri keempat kecuali
A. gigih C. terburu- buru
B. berani D. bertanggungjawab

34. Frasa bergemuruhlah bunyinya seperti orang memburu rusa kijang rupanya
dalam petikan ini mempunyai gaya bahasa
A. simile.
B. metafora.
C. personifikasi.
D. perlambangan.

35. Di manakah orang ramai berkumpul menanti menteri kedua?
A. Dewan.
B. Balairung.
C. Di dalam hutan.
D. Bilik kecil.


Praktis 8
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Hatta, hari pun asarlah; maka datanglah sebuah kapal dari Judah. Serta ia berlabuh, maka makhdum dari kapal itu. Saiyid Abdul Aziz namanya, lalu ia sembahyang di pantai Melaka itu. Maka hairanlah segala orang Melaka melihat dia. Maka kata segala orang Melaka, “Mengapa ia ini tunggang-tonggek?”
Maka berebutlah orang melihat dia penuh sesak, tiada bersela lagi, dan haru-birulah bunyinya sampai ke dalam. Maka raja pun segera naik gajah lalu berangkat keluar, diiringi oleh segala orang besar-besar. Maka dilihat rajalah kelakuan mekhdum sembahyang itu nyatalah seperti yang di dalam mimpinya itu. Maka titah raja kepada Bendahara dan kepada segala orang besar-besar, “Nyatalah demikian seperti di dalam mimpiku itu.”
Setelah sudah makhdum sembahyang, maka raja pun menderumkan gajahnya. Maka makhdum pun dibawa baginda naik gajah, lalu di bawa masuk ke dalam. Maka Bendahara dan segala orang besar-besar pun semuanya masuk Islamlah, dengan besar kecil, tua muda, dan perempuan laki-laki semuanya disuruh baginda masuk Islam. Maka baginda pun berguru kepada makhdum akan tertib sembahyang. Maka raja pun dinamai oleh makhdum, Sultan Muhammad Syah. Adapun akan Bendahara bergelar Seri Amar Diraja. Dan Tun Pepatih Besar, anak Tun Pepatih Permuka Berjajar yang pertama jagi Bendahara; anak Seri Teri Buana yang bernama Raja Kecil Muda jadi penghulu bendahari, bergelar Seri Nara Diraja, maka ia beristerikan anak Bendahara beranak seorang perempuan bernama tun Rana Sandari. Maka Sultan Muhammad pun mengatur takhta kerajaan baginda.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerita “Susur Galur Asal Usul
Negeri Melaka,” antologi Sehijau Warna Daun, Tingkatan 1,DBP)

36. Apakah reaksi penduduk Melaka sebaik sahaja Saiyid Abdul Aziz tiba di Melaka?
A. Disambut dingin.
B. Saiyid Abdul Aziz dicela.
C. Mereka menyambutnya secara sederhana.
D. Penduduk Melaka hairan dan diberi smbutan hangat.

37. Pernyataan-pernyataan berikut terdapat dalam pertikan di atas kecuali
A. Selepas masuk Islam, makhdum menamakan sultan sebagai Sultan Mahmud Syah.
B. Makhdum dibawa ke istana dengan gajah.
C. Penduduk Melaka memeluk agama Islam.
D. Saiyid Abdul Aziz datang dari Judah.

38. Latar masa berlakunya peristiwa dalam petikan di atas ialah
A. pagi. C. malam
B. petang. D. tengah hari

39. Persoalan penting dalam petikan di atas ialah
A. daulat seorang raja.
B. jasa pembesar negeri.
C. pemerintah yang berjasa.
D. kedatangan Islam di Melaka.

40. Golongan masyarakat yang tidak terdapat dalam cerita ini ialah
A. rakyat jelata.
B. golongan agama
C. raja-raja di kayangan.
D. golongan pembesar istana.


Praktis 9
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Pada ketika itu Sang Ratu Daha bersemayam di dalam istana Paduka Liku, dan sedang dihadap oleh Paduka Liku dan Galuh Ajeng. Paduka Liku dan anaknya bersukacita teramat sangat. Menteri, penggawa,demang,temenggung pun menyampaikan salam takzim Ratu Kuripan sesrta mempersembahkan anak-anakan kedua itu kepada ke bawah duli Sang Ratu. Sang Ratu menerima itu dengan sukacita dan telah mengetahui bahawa bingkisan itu berisi anak-anakan. Pada masa itu bertitahlah Sang Ratu kepada Galuh Ajeng, “ Ya anakku Galuh Ajeng, pilihlah sebuah di antara kedua anak-anakan kiriman dari negeri Kuripan, tanda Raden Inu Kertapati ini.”
Paduka Liku pun bersuka hatilah. Galuh Ajeng pun lalu memilih anak-anakan yang lebih baik bungkusannya, iaitu yang dari sutera dewangga, itulah yang diambilnya. Yang bungkusan dari kain buruk dan sisa pilihan itu lalu diberikan oleh Galuh Ajeng pada Galuh Cendera Kirana. Dibawa oranglah ke istana Galuh Cendera Kirana.
Cendera Kirana setelah melihat kiriman sisa pilihan itu, lalulah ia menundukkan kepalanya dan tiada berkata suatu apa, melainkan bertitik air matanya kerana teringat akan untung dan nasib dirinya serta berfikir: “Sisa pilihan baharu dibawa ke mari dan bungkusan dari kain yang amat buruk serta ikatannya pun dari talil kain hitam.”
Mahadewi pun belas kasihan dan memandang hal anakanda Cendera Kirana itu, lalu berkata, “Ambillah tuan barang yang tiada dengan sepertinya ini. Janganlah anakku.”
Mahadewi pun membujuk Galuh Cendera Kirana itu dengan perkataan yang amat merdu lagi lemah lembut.


(Dipetik Dan diubahsuaikan daripada cerita “Patung Kencana dari
Kuripan”, antologi Anak Bumi Tercinta, Tingkatan 3,DBP)

41. Siapakah yang menghantar anak-anakan di dalam petikan ini?
A. Pemerintah dari negeri Daha.
B. Raden Inu Kertapati.
C. Mahadewi.
D. Penggawa.

42. Mengapakah Galuh Cendera Kirana sedih apabila menerima kiriman hadiah?
A. Hadiah yang diterimanya tidak elok.
B. Hadiah yang diterimanya sangat murah.
C. Dia menerima sisa setelah hadiah pertama dipilih.
D. Hadiah yang diterima oleh Galuh Ajeng lebih mahal.

43. Perwatakan penting bagi watak Mahadewi dalam petikan di atas ialah
A. penyayang. C. mementingkan diri.
B. Seorang yang cuai. D. seorang yang sombong.

44. Latar tempat berlakunya petikan di atas ialah
A. negeri Singasari.
B. negeri Gagelang.
C. negeri Kuripan.
D. negeri Daha.

45. Satu pengajaran yang boleh dipetik daripada cerita ini ialah
A. kita mestilah berlaku adil.
B. pemerintah yang disegani oleh rakyat.
C. keadilan akan menentukan keamanan.
D. semangat kerjasama dalam kalangan pembesar.


Praktis 10
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

UJANG: (Sambil memasang jerat) Kalau kau nak belajar memasang jerat ni, belajar pada
aku saja, Lamin!
LAMIN: Kau belajar dari siapa, Ujang?
UJANG: Ayahku seorang pemburu. Jadi aku belajar daripada dia. Aku pernah ikut dia
memikat burung dan menjerat binatang. Tak kira binatang apa pun!.
LAMIN: Ayah kau memang pandai tak semacam ayahku. Ayahku dah tak mau lagi
menjerat. Katanya kesian pada binatang.
UJANG: Aku pun kesian juga.Tapi … yang kita nak jerat ni pelanduk! Kita tidak boleh
kesian kerana itu makanan kita!
LAMIN: Kalau bukan pelanduk yang kena, macam mana?
UJANG: Itu kira nasiblah!
LAMIN: Kalau pelanduk itu mati, macam mana pula?
UJANG: Melepaslah kita!
Ketika itu Kudin masuk semula
KUDIN: Apa yang melepas tu Ujang?
UJANG: Taklah, tak ada yang melepas.
KUDIN: Dah berapa banyak poerangkap yang kau pasang?
UJANG: Dah enam perangkap.
LAMIN: Sekarang kita nak buat apa lagi?
UJANG: Kita semua kena tunggu dulu di sini. Lepas tu baru kita pergi tengok perangkap
tadi!
KUDIN: Ujang, kau rasa berapa ekor yang akan masuk perangkap kita ni?
UJANG: Kalau ada rezeki tu, enam ekor semuanya! Itupun kena selalu tengok. Kalau
tidak, kita akan terus melepas.
KUDIN: Kalau pelanduk masuk perangkap kita nanti, kenduri besarlah kita hari ni!
UJANG: Lamin mana?
KUDIN: Lamin Lamin!
LAMIN: Apa hal? Aku ada di sini!
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada drama Jerat, Tingkatan 1, DBP)


46. Mengapakah Ujang belajar memasang jerat daripada ayanya?
A. Ayahnya memaksa.
B. Ayahnya seorang penjual jerat binatang.
C. Ayahnya mewariskan kepandaian kepada Ujang.
D. Ayahnya pandai kerana ayahnya seorang pemburu.

47. Perkataan melepas dalam petikan di atas boleh disamakan dengan
A. untung.
B. bernasib baik.
C. tiada peluang.
D. binatang terlepas daripada jerat.

48. Nilai yang aak ketara dalam petikan di sebelah ialah
A. syukur.
B. berani.
C. kerjasama.
D. kesederhanaan.
49. Perwatakan penting bagi Ujang dalam petikan di atas ialah
A. terburu-buru.
B. tegas dan berani.
C. gopoh dan tamak.
D. berhati-hati dan pandai.

50. Peristiwa penting yang berlaku di awal cerita drama ini ialah
A. Kudin ke rumah Lamin.
B. Lamin baru pulang dari sekolah.
C. Ujang baru pulang dari sekolah.
D. Ujang dan Kudin menunggu kedatangan Lamin.

No comments: